24 June 2009

Martabat Seorang Ayah

Sekilas membaca di dalam akhbar hari ini, "Ayah, pulanglah, kami merindui mu..."

Rintihan anak kecil yang baru nak kenal dunia, ditinggalkan oleh seorang lelaki yang bergelar ayah. hinggakan adiknya yang bongsu tidak mengenali siapa ayah mereka.
kenapa ini terjadi di dalam masyarakat kita pada hari ini? suami meninggalkan isteri dan anak-anak, terkontang kanting membawa haluan hidup di lautan dunia yang bergelora...

Walid, abah, bapak, babah, daddy, ayah...

itulah gelaran yang diberikan kepada seorang insan yang mana dari benih merekalah kita lahir ke dunia.

bagi seorang insan yang bergelar yatim piatu, tidak mengenal erti sepasang ibu dan bapa, mungkin merasakan bahawa mereka insan malang di dunia, tetapi kenapa, ada lagi manusia yang bergelar bapa memberikan title 'anak yatim piatu' sedangkan mereka masih lagi hidup tetapi menghilangkan diri kepada anak-anak anugerah Tuhan ini?

Allah S.W.T menjadikan setiap manusia tu berakal, untuk berfikir, bagi membezakan mana yang baik, mana yang buruk. yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

kes haruan makan anak ni lagi satu hal, dah tak pueh ke dengan bini sendiri, sampaikan anak sendiri nak dibalun? orang yang macam ni sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka, dah lah masa depan anak tersebut hancur hanya disebabkan nafsu serakah mereka, inikan pulak nak dibebaskan daripada kesalahan mereka. ada tu yang sampai melahirkan anak kepada bapa sendiri. apa yang nak dipanggil kalau camtu, mak lahirkan adik sendiri....? huish.... simpang malaikat 44.

serangkap dari potongan lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad...

Ayah dan ibu...
Ayah dan ibu.....
Itulah permulaan kami.....

setiap anak yang lahir itu kenal dengan mak bapak mereka sendiri. kalau mak bapak sendiri tak boleh nak menghargai anak yang dikandungkan tu, camne anak tu nak hormat mak bapak mereka sendiri...?

Fikir-fikirkanlah, wahai sahabat-sahabatku..........

Selamat Hari Bapa buat semua bapa di dunia ini, semoga menjadi role model yang terbaik untuk generasi masa depan negara....

Assalamualaikum.....

15 June 2009

Pujuk…

Tiada lafaz yang lebih agung
kalimah cintamu
yang ku tunggu, tunggu
biar jasad ku yang menanggung
permainan darimu
rela ku pujuk…..

sebahagian lagu ni mengingatkan pada seseorang yang telah lama menghilangkan diri. mengenalkan diri dengan dunia luar, mengenalkan diri dengan apa itu cinta kasih dan sayang,

tapi dia jugaklah mengenalkan diri dengan apa itu ertinya sayu, sedih, pilu, dipinggirkan.

betul la kata orang, sakit kat badan, boleh ubat, tapi kalau sakit yang kat dalam hati, camna nak ubat?

orang tua2 penah pesan, nak sayang orang kena berpada2. jangan terlalu sayang sampai tadek tinggal untuk diri sendiri…sudahnye, melepek kat tepi jalan, gile meroyan hanya disebabkan cinta seorang lelaki.

mujur cepat sedar, bangkit balik, dan inilah yang ada sekarang. tiada duka, hanya suka sentiasa…

Ada orang penah cakap:-…..

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat dimata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu, janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kail mu danmungkin akan menderita selagi ia masih hidup

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu berharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia retak tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia masihboleh digunakan lagi..

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengkaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa… Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamuuntuk menerimanya. Akhirnya kamu tinggalkan dia sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan bertambah baik…

sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri…
buang yang keruh ambil yang jernih
baru teguh peribadi…..

Assalamualaikum…..

02 June 2009

Bahagia Terletak pada Sifat Redha....

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah.
Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya.

Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat redha.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ‘diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda redha ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Redha bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

Redha dengan apa yang dikurniakan sesungguhnya setiap apa kurniaan adalah mengikut bahagian bukan keseluruhan. Malah bersyukur adalah tunas keredaan.

Sumber: Berita Harian (21 Ogos 2006) dengan sedikit pindaan

"Life can give u a hundred reasons to cry,
But u can give life a thousand reasons to smile"

Renung, fikir dan ambil iktibar sebagai panduan hidup…

Assalamualaikum…….