24 June 2009

Martabat Seorang Ayah

Sekilas membaca di dalam akhbar hari ini, "Ayah, pulanglah, kami merindui mu..."

Rintihan anak kecil yang baru nak kenal dunia, ditinggalkan oleh seorang lelaki yang bergelar ayah. hinggakan adiknya yang bongsu tidak mengenali siapa ayah mereka.
kenapa ini terjadi di dalam masyarakat kita pada hari ini? suami meninggalkan isteri dan anak-anak, terkontang kanting membawa haluan hidup di lautan dunia yang bergelora...

Walid, abah, bapak, babah, daddy, ayah...

itulah gelaran yang diberikan kepada seorang insan yang mana dari benih merekalah kita lahir ke dunia.

bagi seorang insan yang bergelar yatim piatu, tidak mengenal erti sepasang ibu dan bapa, mungkin merasakan bahawa mereka insan malang di dunia, tetapi kenapa, ada lagi manusia yang bergelar bapa memberikan title 'anak yatim piatu' sedangkan mereka masih lagi hidup tetapi menghilangkan diri kepada anak-anak anugerah Tuhan ini?

Allah S.W.T menjadikan setiap manusia tu berakal, untuk berfikir, bagi membezakan mana yang baik, mana yang buruk. yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

kes haruan makan anak ni lagi satu hal, dah tak pueh ke dengan bini sendiri, sampaikan anak sendiri nak dibalun? orang yang macam ni sepatutnya dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka, dah lah masa depan anak tersebut hancur hanya disebabkan nafsu serakah mereka, inikan pulak nak dibebaskan daripada kesalahan mereka. ada tu yang sampai melahirkan anak kepada bapa sendiri. apa yang nak dipanggil kalau camtu, mak lahirkan adik sendiri....? huish.... simpang malaikat 44.

serangkap dari potongan lagu nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad...

Ayah dan ibu...
Ayah dan ibu.....
Itulah permulaan kami.....

setiap anak yang lahir itu kenal dengan mak bapak mereka sendiri. kalau mak bapak sendiri tak boleh nak menghargai anak yang dikandungkan tu, camne anak tu nak hormat mak bapak mereka sendiri...?

Fikir-fikirkanlah, wahai sahabat-sahabatku..........

Selamat Hari Bapa buat semua bapa di dunia ini, semoga menjadi role model yang terbaik untuk generasi masa depan negara....

Assalamualaikum.....

15 June 2009

Pujuk…

Tiada lafaz yang lebih agung
kalimah cintamu
yang ku tunggu, tunggu
biar jasad ku yang menanggung
permainan darimu
rela ku pujuk…..

sebahagian lagu ni mengingatkan pada seseorang yang telah lama menghilangkan diri. mengenalkan diri dengan dunia luar, mengenalkan diri dengan apa itu cinta kasih dan sayang,

tapi dia jugaklah mengenalkan diri dengan apa itu ertinya sayu, sedih, pilu, dipinggirkan.

betul la kata orang, sakit kat badan, boleh ubat, tapi kalau sakit yang kat dalam hati, camna nak ubat?

orang tua2 penah pesan, nak sayang orang kena berpada2. jangan terlalu sayang sampai tadek tinggal untuk diri sendiri…sudahnye, melepek kat tepi jalan, gile meroyan hanya disebabkan cinta seorang lelaki.

mujur cepat sedar, bangkit balik, dan inilah yang ada sekarang. tiada duka, hanya suka sentiasa…

Ada orang penah cakap:-…..

Jika kamu memancing ikan, setelah ikan itu terlekat dimata kail hendaklah kamu mengambil terus ikan itu, janganlah sesekali kamu lepaskan ia semula ke dalam air begitu sahaja kerana ia akan sakit oleh kerana bisanya ketajaman mata kail mu danmungkin akan menderita selagi ia masih hidup

Begitulah juga setelah kamu memberi banyak pengharapan kepada seseorang. Setelah ia mula menyayangimu hendaklah kamu menjaga hatinya. Janganlah sesekali kamu terus meninggalkannya begitu sahaja kerana dia akan terluka oleh kenangan bersamamu dan mungkin tidak dapat melupakan segalanya selagi dia mengingatimu.

Jika kamu menadah air biarlah berpada, jangan terlalu berharap pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh. Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia retak tentu sukar untuk kamu menampalnya semula. Akhirnya ia dibuang sedangkan jika kamu cuba membaikinya mungkin ia masihboleh digunakan lagi..

Begitu juga jika kamu memiliki seseorang terimalah seadanya. Janganlah kamu terlalu mengkaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa… Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan kesilapan bukan mudah bagi kamuuntuk menerimanya. Akhirnya kamu tinggalkan dia sedangkan jika kamu memaafkannya boleh jadi hubungan kamu akan bertambah baik…

sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri…
buang yang keruh ambil yang jernih
baru teguh peribadi…..

Assalamualaikum…..

02 June 2009

Bahagia Terletak pada Sifat Redha....

BAHAGIA belum tentu tersimpan di istana yang megah.
Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya.

Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.

Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"

Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda.

Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.

Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)

Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita reda sebab sayang.

Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang di amuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat redha.

Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang ‘diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

Tanda redha ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.

Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.

Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Redha bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi reda adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama reda kepada Allah.

Redha dengan apa yang dikurniakan sesungguhnya setiap apa kurniaan adalah mengikut bahagian bukan keseluruhan. Malah bersyukur adalah tunas keredaan.

Sumber: Berita Harian (21 Ogos 2006) dengan sedikit pindaan

"Life can give u a hundred reasons to cry,
But u can give life a thousand reasons to smile"

Renung, fikir dan ambil iktibar sebagai panduan hidup…

Assalamualaikum…….

30 April 2009

Kebesaran Tuhan...

Penah tengok tak jenis menatang macam ni? ini adalah salah satu kumbang yang jarang-jarang kita temui. nama kumbang ni saya tak pasti, tapi komposisi unik kulit atau kepaknya itu, macam kulit kayu yang dikopek dari batangnya, yang menarik minat saya untuk mengambil gambar tersebut.

macam tu jugak dengan kita manusia. setiap orang ada dan mempunyai keistimewaan masing-masing, ada yang comel, ada yang kurang comel (bukan tak comel) ada yang tinggi, kurus, gemuk, ketot, dan pelbagai macam ragam lagi.

tapi kita sebagai manusia haruslah bersyukur dengan apa yang telah dikurnikan oleh Allah S.W.T. sebagaimana kita lahir kat dunia ni dengan wajah dan bentuk badan yang sedia ada, macam tu jugaklah kita kembali kepadanya, bukan jadi cam transformers lak, boleh tukar-tukar bila nak.

tak silap saya, saya ada terbaca artikel di dalam Utusan Malaysia, berkenaan seorang wanita China sanggup membuat pembedahan plastik untuk mencantikkan wajahnya yang pada pandangannya tidak secantik ratu dunia. dia wat pembedahan di luar China. tapi bile dia nak balik masuk ke negaranya, dia ditahan di pintu masuk ke negaranya, sebab wajah dia tak sama dengan passport yang dimilikinya. kan dah jadi masalah. bak kata orang N9 ni, dah tak ado kojo cari kojo. kan dah nyusahkan orang, lebih-lebih lagi diri sendiri.

tu baru segelintir dari permasalahan yang terdapat di dalam dunia ni. berbalik kita kat Malaysia, kes yang tak selesai sampai sekarang, kes seorang pesakit di klinik menjalani prosedur menyedut lemak tetapi mati di meja pembedahan. prosedur tersebut dia dah jalani sebanyak 14 kalin sebelum ini, namun kali yang ke 15 dia menemui ajalnya.

mungkinlah Tuhan tu nak tunjuk, tak semua menda dalam dunia ni kita leh ubah mengikut kehendak diri kita, tapi yelah tu urusan dia dengan Allah kan...

Satu lagi, berkenaan dengan pembedahan transgender, tu pun dah semakin menjadi satu masalah dalam masyarakat kita ni. lainlah kalau orang tu khunsa, maka pembedahan tersebut adalah perlu untuk memberikan mereka peluang untuk menjalani kehidupan seperti orangt biasa. tapi yang kalau sesaje nak tukar, laki jadi pompuan, pompuan jadi laki, tu dah melanggar lumrah alam.

so, kita sebagai masyarakat bertamadun, ada akal, fikirkanlah. yang lebih penting, letakkan akal depan hati, sebab akal lebih realistik, hati banyak menyonsong perasaan...

Fikir-fikirkanlah... Assalamualaikum....

28 April 2009

Surat Dari Anak Mak Yang dah Tak Nakal

Mei akan menjengahkan muka dalam beberapa hari lagi, seperti yang kita tahu, setiap tahun, bulan Mei adalah bulan meraikan Ibu,
bukan bulan-bulan lain takleh nak raikan ibu, tapi bulan ni bulan yang spesel sikitlah...

bacalah catatan seorang anak di bawah ini untuk kita lebih menghargai seorang insan yang bernama 'BONDA'


Mak.....
Terlalu bosan rasa duduk membilang hari.....
Dah hampir sepuluh bulan mak pergi,
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan sejuk syahdu masih terasa lagi nih....

Mak tau tak.....
itu lah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kiter dewasa.....
dan itu juga terakhir kali nya.

Emmmm...
rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh.....
nak tinggal kan anak2 mak..... nak tinggal kan dunia fana ni.....
mak macam dah sedia.....

Seminggu sebelum tu.....
mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai.....
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu....
tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih.....
kakak pun rasa hairan..... mak tak penah buat gitu.....

pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak.....
tapi mak seolah2 tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran siam ......
kengkadang siaran indonesia ..
mak terus tekun menganyam...

Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan untuk mengiringi mak ke kuburan...
Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih2....
pastu mak jemur karpet-karpet. ..
pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..
mak biarkan ruang tu kosong..
rupanya kat situ jenazah mak diletakkan..

paling menarik sekali mak bgtau kat maner sume duit dan barang kemas mak..
ada kat dalam almari.....
ada kat dalam dalam beg.....
ada dalam ASB.....
ada kat dalam Tabung Haji.. mak cakap tak berapa cukup lagi....
ada kat dalam gulung tikar.....

masa tu mak perasan takk..??
kiter gelak sakan bila mak bgtau duit dalam gulung tikar...
kiter kata mak ni memang pesenn lama laaa...
mak cuma gelak jer... eeemmm..bahagiaa nya saat ituu..

Mak.....
Hari tu hari sabtu 18/08 pukul 3 petang mak tiba2 sakit perut.....
bila malam tu kiter sampai dari KL.....
mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampung semua dah pujuk.....
mak tetap takmau pi hospital.....
dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk..

Mak kata mak takmau duduk dalam hospital.... .
tapi kiter berkeras juga pujukk..
nanti di hospital ada doktor...
ada ubat untuk mak..
kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut jer..

Mak tetap tak bersetuju...
mak memang degil..
tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk....
mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit
kami adik beradik sepakat hantar juga mak ke hospital....

... Mak.....
amponkan kami semua...
kami nak mak sehat...
kami sayang mak...
kami tak mau mak sakit...
kami terpaksa juga hantar mak ke hospital....
ampon kan kami yer mak....

Mak.....
Malam itu abang bawa mak ke hospital dan itu lah pertama dan terakhir kali mak naik kereta kiter...
Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak, kiter kata nak beli kereta....
Mak asyik tanya ajer..cukup ker duitt..
kiter jawab pula...kalau tak cukup, mak kan banyak duit...
mak gelak ajerr.....
Lepas tu bila kereta kiter sampai....
mak buat kenduri kesyukuran.. ....

Dan kiter masih ingat lagi...
bila kiter eksiden terlanggar Ah-Chong naik motor.....
Punya la kiter takut...
kiter warning kakak kiter jangan sesekali bgtau kat mak......
Bila balik sahaja kampung ....
kiter cepat-cepat simpan keta dalam garaj.....
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek...
mak tanya kenapa...?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga.....

Mak....
Tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau...
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar...
mak, kiter menipu mak kan ..
ampon kan kiter....

Mak.....
Jam 4.30 pagi 19/08
Bila tiba aja kat hospital....
nurse tengah balut mak dengan kain putih.....
mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital....
Mesti mak nampak abang cium dahi mak.....
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak....
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu...
mesti mak nampak semua tu kann...kann. .kannn

Mak tau tak....
Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter memandu dalam keadaan separuh sedar...
Adik kat sebelah diam melayan perasann...
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini...
jalan di depan terasa makin kelam.....
airmata dah tak mampu di tahan....
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela...

Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga...
di sebab kan pagi masih awal, jadi jalan tu lenggang..
kosong. ...
sekosong hati ini.....

Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya.. .....
terasa syahdu dan sayu....
dinginnnn. ....

Mak.....
Kiter masih ingat lagi....
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak...
Jam 11.00 pagi mak di mandi kan ....
Anak2 mak yang pangku masa mak mandi....
Mak mesti rasa betapa lembut nya kami mengosok seluruh tubuh mak.....
Kiter gosok kaki mak perlahan lahan.....

Mak perasan tak...?
Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter.....
Dia kata...
" dikk...jangan nangis....kalau sayang mak jangan buat gitu...jangan nangis ya.."
Bila makcik tu kata gitu...
lagi laaaa laju airmata ni..
tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak....

Mak.....
Sampai takat ini surat ni kiter tulis.....
kiter nangis ni.....
Ni kat dlm bilik...
baru pukul 4.00 pagi....
Takder orang yang bangun lagi.....
kiter dengar nasyid tajuk "anak soleh" kiter sedih...
kiter rindu kat mak..!

Takpa la.....
nanti bila kita selesai sembanyang subuh, kiter baca yassin untuk mak...
mak tunggu ya..!

Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya...
Semua anak2 mak mengelilingi mak...
menatap wajah mak buat kali terakhir....
Semua orang kata mak seolah2 senyum aja...

Mak rasa tak....
masa tu kiter sentuh dahi mak....
kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk.....
Kiter tak mampu nak cium mak...
kiter tak daya....
kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar...
Airmata kiter tak boleh tahan....

Mak mesti ingat kan yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak...
tapi kite suruh tok imam bacakan doa sebab kite sebak....
Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah....
Akak pula dah terkulai dlm pelukan makcik...
badan akak terasa panas...
makk...
anak mak yang seorang tu demam....

Mak tauu...
cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan.. .

Mak.....
Hari2 kmendatang kiter lalui tanpa kewujudan mak lagi...
Begitu terasa kehilangan mak...
boleh kata setiap malam selepas maghrib anak mak ini berendam airmata...

Dan sampai satu tahap....
masa tu malam jumaat selepas maghrib...
Selepas kiter baca yassin ngan kawan-kawan. ....
entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar2 mak pastu apa lagi...
semakin kiter tenung terasa semakin sayu...
tangisan tak dapat dibendung...

Mak tauu...
kiter cuba bertahan....
memujuk diri sendiri tapi tak juga reda...

Kiter rasa nak telefon mak...
nak cakap dengan mak....
anak mak yang ni dah tak betul kan ..?

Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon kampung ...
Kiter cakap dengan kakak...
kiter nangis lagi...
Puas la kakak memujuk kiter... .
Akak kata...
" tak baik laa nangis aje..doa lah untuk mak.."
Dan akhirnya akak juga nangis.....

Mak tau tak..
di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati...
rasa nyilu sangat...
menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni....
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma...
hanya sedekah al-fatihah kiter berikan.....

Mak....
cukup la sampai sini dulu....
kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu....
kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid...
selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan ....
kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak...

esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula....

Mula2 kiter tak tau nak hantar mana surat nih...
pastu kawan kiter bgtau...
simpan je buat kenangan..
Kiter cuma tau alamat ni aje...

Takper yer mak...
kiter kasi orang lain baca...
Kiter stop dulu...
sebab kawan kiter dah lama tunggu tu...
akhir kata untuk mak,
I LOVE YOU SO MUCH dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kiter...
memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah..
sampai masuk unibesiti..
sampai kiter boleh rase naik kapal terbang...
boleh rasa duduk kat negara orang...
sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kiter balas..

Sekian terima kasih,

Yang Benar

Anak mak yang dah tak nakal